BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, July 22, 2010

Mensyukuri rezeki keringat penat lelah.

Salam..

Hari yang ditunggu-tunggu muncual jua. Hari ini semua kakitangan kerajaan boleh menarik nafas lega kerana gaji telah dikreditkan ke akaun masing-masing. Saya turut tersenyum sama kerana hanya gaji inilah punca pendapatan, untuk meneruskan kehidupan. Saya tidak pasti kalau orang lain gembira atau tidak, kerana setiap orang sudah pasti mempunyai kehidupan masing-masing yang perlu dibiayai.

Hmm..seperti biasa sebelum dapat gaji, saya sudah menyenaraikan beberapa benda yang penting untuk diselesaikan. Senarai itu seperti berikut:

--> Ansuran kereta
--> Sewa rumah
--> Elaun untuk mama
--> Bil broadband
--> Bil kad kredit
--> Bil api + air
--> Ansuran kutu

Senarai di atas ini telah menyebabkan akaun saya hanya tinggal suku. Memang pening kepala memikirkan banyak lagi benda lain yang hendak dibereskan, tapi saya berserah kepadaNya. Dia telah menentukan rezeki kita sebanyak mana, dan Dia sahajalah tempat kita meminta untuk mencukupkan keperluan di dunia ini.

Dulu saya pernah mengeluh kerana berasakan gaji yang diterima tidak memadai untuk hidup, apatah lagi di kota besar seperti Kuala Lumpur ini. Namun bila melihat orang lain, yang bergaji jauh lebih kecil boleh hidup aman bahagia tanpa keluh kesah, lantas perasaan menyesal mengetuk dinding hati. Kenapa orang lain yang diuji lebih hebat boleh bersabar? dan saya yang bertuah ini boleh pula memandai-mandai tidak mahu mensyukuri nikmatNya.

Sebenarnya, banyak perkara boleh diambil iktibar. Allah S.W.T hendak menguji kita, Dia hendak mengetahui sejauh mana kita hamba-hambaNya mempergunakan minda yang telah dianugerahkan untuk mengurus kehidupan masing-masing. Saya tidak menafikan bahawa diri ini juga tergolong dalam golongan orang yang suka membeli-belah dan kadang-kala ada barang yang dibeli tidak bermanfaat, membazir pula. Baru-baru ini saya telah menyemak perbelanjaan, dan saya ini memang tidak seberapa layak untuk berbelanja sesuka hati.

Tapi, sebagai manusia biasa kita tidak lari dari membuat beberapa keputusan yang salah, termasuk dalam soal berbelanja. Oleh sebab itu, disyorkan kita menilik kemampuan, dahulukan keperluan, kebelakangkan kehendak. InsyaAllah saya mampu untuk hidup tenang. Alhamdulillah.

0 comments: