BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, July 30, 2010

Kenangan sebagai seorang pelajar 4 tahun dahulu.

Salam..

Ketika jari jemari ini menaip, sebenarnya saya ingin berkongsi tentang harapan dan cita-cita. Namun, sesuatu yang terlintas difikiran ialah suatu kenangan yang kerap mengusik hati kecil ini, bila mana sebelum online tadi saya terbelek sebuah diari lama. Diari 4 tahun lepas yang bertulis 'Shah Alam, DTMP 05 Ninimazni Zulkifli'.

Sebelum mengenali dunia internet, sebelum memiliki PC sendiri, dan sebelum laptop menjadi gajet yang didamba, seperti remaja lain saya memilih untuk mencurah perasaan, suka duka, pahit getir pada sebuah buku bergelar diari. Rasanya semenjak menengah rendah saya ada banyak koleksi buku kecil tercoret kata-kata menceritakan kisah harian, namun kesemua buku itu sudah diabadikan di rumah mak di Kota Kinabalu.

Sejak meninggalkan zaman kolej, sudah banyak kisah yang tercicir untuk diabadikan. Banyak yang menjadi memori mengisi minda ini sahaja kerana kesibukan telah membataskan waktu untuk melakar pengalaman di atas diari.

Berbalik kepada diari 4 tahun lepas itu, saya memang amat menyayanginya. Ya, kerana sebahagian kisah menjadi pelajar kolej berada di dalamnya. Ingatan ini tidak akan pernah lupus bila mengingat insan-insan bernama Dev, Jana, Emy, Huda..juga Leen, Yana, Hadi, Hamim, Sharmela, Khai..serta banyak lagi nama-nama kawan semasa di PTPL Shah Alam.

Kenangan menghadiri kelas-kelas amali, mengambil exam pada waktu malam di blok C semasa cuaca ribut hujan lebat, kenangan menjadi budak selekeh (2005 itu saya memang budak perempuan yang selekeh, baju XXL, tudung tak pernah pin elok-elok, bawak pula beg sandang besar, seluar jeans labuh dan lusuh..) dan banyak lagi kenangan. Imbasan memori di rumah sewa tingkat 9, blok A, Apartment Perdana kadang-kadang sungguh sayu bila terkenang. Kami bertujuh bersatu menghuni rumah dan berkongsi segala suka-duka.

Ya, detik 2004-2006 adalah suatu detik yang mencabar kesabaran. Bergelar pelajar yang tidak pernah cukup serba-serbi. Terkenang saat itu elaun MARA adalah sumber kewangan utama. Kerana saya ini dilahirkan dalam keluarga susah, kehilangan ayah pada zaman kanak-kanak. Alhamdulillah, saat-saat itu telah berlalu. Tetapi kelibat kesannya masih terasa di dalam sanubari ini. Siapa sangka dengan elaun  RM360 sebulan boleh hidup!

Masakan tidak, bukan mudah ingin merubah nasib. Dari seorang pelajar yang kandas STPM, bangkit pula berjuang meraih diploma. Dan kenangan 3 semester berturut-turut menjadi antara budak DTMP tersenarai dalam Anugerah President List, dan pernah sekali tercalon untuk Anugerah Pelajar Terbaik (walaupun akhirnya tidak terpilih) adalah kenangan yang paling manis sekali.

Di sebalik cerita-cerita suka ini, saya tidak menipu jika menyebut ada kenangan yang mencoret luka di hati. Perjalanan menempuh masa 3 tahun di Shah Alam telah mengenalkan saya kepada seorang insan yang hingga saat ini hati saya selalu merintih 'Tuhan, kenapa mempertemukan kami, mengikrar janji tetapi kenapa dia mengkhianati saya?'

Episod cerita bermula dengan kenangan manis dan hari ini, detik ini saya ingin sekali mengulang semua kenangan itu tetapi mustahilkan! Mana bisa masa berputar kembali, dan masa benar-benar meninggalkan kami yang kekal hanyalah memori. Terima kasih kawan-kawan jika anda semua juga menyimpan memori yang sama!

Ya Allah, Ya Allah, Ya Rahman, benarkanlah daku ini menjadi sahabat terbaik kepada mereka, kepada dia, kepada sesiapa yang ingin berdamping kepadaku.

Ya Allah, Ya Allah, Ya Rahim, jadikanlah masa lalu itu sebagai azimat untukku menghadapi masa hadapan, kerana masa lalu daku itu ada kisah teladan dariMu.

Izinkanlah saya terus mengingati kenangan lama, biarpun nama-nama yang saya sebut di dalam coretan pagi ini telah lama membawa haluan masing-masing, kerana janji kami ingin merubah nasib diri sendiri!

Kenangan semalam adalah doa saya untuk masa hadapan. Amin Ya Khalik.

0 comments: