BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, July 20, 2010

Anugerah sabar dalam kerjaya.

Salam..

Pada 8hb September ini genaplah 2 tahun saya bertugas di Pusat Kesihatan Universiti, UPM. Dengan posisi sebagai anggota paramedik (Juruteknologi Makmal Perubatan), tentulah kesibukan sentiasa menghambat bermula dari masuk kerja sampailah ke masa untuk balik.

Bergraduasi dalam Diploma Makmal Sains Perubatan, Pusat Teknologi & Pengurusan Lanjutan pada tahun 2007 (dengan meraih kepujian kelas pertama) bukanlah satu lesen untuk terus mendapat tawaran kerja. Rasa-rasanya ada lebih kurang 10 resume telah saya layangkan demi mendapatkan kerja yang sesuai, malangnya hanya ada 2 company yang memanggil interview. Sayang sekali, walaupun telah berjaya menghadiri interview, saya telah gagal mendapat kerja tersebut.

Kemudia saya berhijrah ke Penang (tinggal dengan kakak) pada 2007, dengan memulakan alam pekerjaan di 7E Batu Maung sebagai Store Associate. Ketika itu saya cuba memujuk diri bahawa keputusan menyambung study dlm medical lab bukanlah satu kesilapan. Almaklum ketika itu ramai yang kesian tengok saya, ada diploma tapi kerja tak sesuai. Masa kerja di 7E inilah saya mula merasai pahit getir, masam manis dunia pekerjaan. Ya la, kerja sebagai orang bawahan konsepnya hanya 'saya yang mengikut arahan'.

Nasib baik mula menyebelahi saya apabila pada awal 2008, Kolej PTPL Penang memanggil saya bekerja dengan mereka. Masa itu, hati menjadi riang kerana dapat kerja yang lebih elok. Tetapi sebaik sign up sebagai staff di sana, posisi saya 'Lab Technician' hanya nama semata-mata. Sebab ketika itu program DTMP belum dilaksanakan. Selama 6 bulan, saya di'pinjam'kan ke Exam Department. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana banyak menimba pengalaman bekerja di sini walaupun tidak lama.

Panggilan memulakan kerja di UPM pada Julai 2008 adalah saat-saat yang amat saya nantikan. Tidak terkira dipanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana doa saya selama ini dikabulkan olehNya. Akhirnya, dapat jua saya bertugas dalam bidang yang dipelajari. Semasa di sini, dalam tempoh hampir 2 tahun ini terlalu banyak kenangan pahit manis. Saya akur, kerana sebagai staff junior, masih banyak yang perlu dipelajari. Hingga saat ini, saya masih cuba memperbaiki mutu kerja agar semua tugas yang diamanahkan dapat dilakukan dengan terbaik. Prinsip 'practise makes perfect' cuba dipraktikkan sebaik mungkin. Alhamdulillah, Allah S.W.T telah mengurniakan kesabaran kepada saya untuk menempuh hari-hari sebagai kakitangan kerajaan. 'Saya yang mengikut arahan, Berilmu, Berbakti'.

Hati saya selalu berkata mengingatkan diri, bahawa nafkah dan rezeki jua pekerjaan saya pada hari ini sebenarnya adalah doa yang pernah dipanjatkan kepada Dia, lama dahulu. Dia tidak pernah lupa kepada hamba-hambaNya, yang memohon penuh harap, dan Dia mengabulkan hajat-hajat itu baik dengan kadar cepat atau lambat. Kesulitan dan kesusahan semasa bertugas tidak pernah saya keluh kesahkan kerana di luar sana, ramai orang yang bekerja tetapi tidak gembira. Hati saya gembira jika kerja-kerja yang dilakukan dapat disiapkan mengikut waktu, kemas, dan teliti. Kerana, setiap keringat yang dicurahkan itu akan bertukar menjadi nafkah yang digunakan untuk membiayai kehidupan di dunia fana ini.

Saya ingin memetik firman Allah S.W.T yang telah tercatat dalam Al-Quran yang bermaksud : “Malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (memberi hormat dengan berkata): ‘Selamat sejahteralah kamu, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (Surah Al-Ra’d, ayat 23-24). Setiap kesabaran menghadapi sesuatu pasti diganjariNya dengan kebaikan. InsyaAllah.

0 comments: