BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, July 30, 2010

Kenangan sebagai seorang pelajar 4 tahun dahulu.

Salam..

Ketika jari jemari ini menaip, sebenarnya saya ingin berkongsi tentang harapan dan cita-cita. Namun, sesuatu yang terlintas difikiran ialah suatu kenangan yang kerap mengusik hati kecil ini, bila mana sebelum online tadi saya terbelek sebuah diari lama. Diari 4 tahun lepas yang bertulis 'Shah Alam, DTMP 05 Ninimazni Zulkifli'.

Sebelum mengenali dunia internet, sebelum memiliki PC sendiri, dan sebelum laptop menjadi gajet yang didamba, seperti remaja lain saya memilih untuk mencurah perasaan, suka duka, pahit getir pada sebuah buku bergelar diari. Rasanya semenjak menengah rendah saya ada banyak koleksi buku kecil tercoret kata-kata menceritakan kisah harian, namun kesemua buku itu sudah diabadikan di rumah mak di Kota Kinabalu.

Sejak meninggalkan zaman kolej, sudah banyak kisah yang tercicir untuk diabadikan. Banyak yang menjadi memori mengisi minda ini sahaja kerana kesibukan telah membataskan waktu untuk melakar pengalaman di atas diari.

Berbalik kepada diari 4 tahun lepas itu, saya memang amat menyayanginya. Ya, kerana sebahagian kisah menjadi pelajar kolej berada di dalamnya. Ingatan ini tidak akan pernah lupus bila mengingat insan-insan bernama Dev, Jana, Emy, Huda..juga Leen, Yana, Hadi, Hamim, Sharmela, Khai..serta banyak lagi nama-nama kawan semasa di PTPL Shah Alam.

Kenangan menghadiri kelas-kelas amali, mengambil exam pada waktu malam di blok C semasa cuaca ribut hujan lebat, kenangan menjadi budak selekeh (2005 itu saya memang budak perempuan yang selekeh, baju XXL, tudung tak pernah pin elok-elok, bawak pula beg sandang besar, seluar jeans labuh dan lusuh..) dan banyak lagi kenangan. Imbasan memori di rumah sewa tingkat 9, blok A, Apartment Perdana kadang-kadang sungguh sayu bila terkenang. Kami bertujuh bersatu menghuni rumah dan berkongsi segala suka-duka.

Ya, detik 2004-2006 adalah suatu detik yang mencabar kesabaran. Bergelar pelajar yang tidak pernah cukup serba-serbi. Terkenang saat itu elaun MARA adalah sumber kewangan utama. Kerana saya ini dilahirkan dalam keluarga susah, kehilangan ayah pada zaman kanak-kanak. Alhamdulillah, saat-saat itu telah berlalu. Tetapi kelibat kesannya masih terasa di dalam sanubari ini. Siapa sangka dengan elaun  RM360 sebulan boleh hidup!

Masakan tidak, bukan mudah ingin merubah nasib. Dari seorang pelajar yang kandas STPM, bangkit pula berjuang meraih diploma. Dan kenangan 3 semester berturut-turut menjadi antara budak DTMP tersenarai dalam Anugerah President List, dan pernah sekali tercalon untuk Anugerah Pelajar Terbaik (walaupun akhirnya tidak terpilih) adalah kenangan yang paling manis sekali.

Di sebalik cerita-cerita suka ini, saya tidak menipu jika menyebut ada kenangan yang mencoret luka di hati. Perjalanan menempuh masa 3 tahun di Shah Alam telah mengenalkan saya kepada seorang insan yang hingga saat ini hati saya selalu merintih 'Tuhan, kenapa mempertemukan kami, mengikrar janji tetapi kenapa dia mengkhianati saya?'

Episod cerita bermula dengan kenangan manis dan hari ini, detik ini saya ingin sekali mengulang semua kenangan itu tetapi mustahilkan! Mana bisa masa berputar kembali, dan masa benar-benar meninggalkan kami yang kekal hanyalah memori. Terima kasih kawan-kawan jika anda semua juga menyimpan memori yang sama!

Ya Allah, Ya Allah, Ya Rahman, benarkanlah daku ini menjadi sahabat terbaik kepada mereka, kepada dia, kepada sesiapa yang ingin berdamping kepadaku.

Ya Allah, Ya Allah, Ya Rahim, jadikanlah masa lalu itu sebagai azimat untukku menghadapi masa hadapan, kerana masa lalu daku itu ada kisah teladan dariMu.

Izinkanlah saya terus mengingati kenangan lama, biarpun nama-nama yang saya sebut di dalam coretan pagi ini telah lama membawa haluan masing-masing, kerana janji kami ingin merubah nasib diri sendiri!

Kenangan semalam adalah doa saya untuk masa hadapan. Amin Ya Khalik.

Sifat riak sifat Mazmumah yang boleh menghancurkan peribadi.

Salam..

Telah seminggu jari-jemari ini tidak menaip sesuatu untuk mengisi ruangan blog ini. Kesibukan kerja kadang-kadang melimitkan masa untuk berehat, dan bila masa kerja itu sudah berakhir, memang keletihan sangat terasa.

Saya memang selalu mengunjungi laman web sosial Facebook. Dahulu kala saya aktif mem'publish' status saya di 'wall', tapi sekarang tidak lagi selepas 2 tahun ini. Banyak faktor yang mendorong saya tidak lagi mem'publish' yang bukan-bukan. Mungkin baru sekarang saya menyedari kata-kata yang tertulis di 'wall' itu boleh mendorong berlakunya pemikiran serong kepada pembacanya terhadap si penulis. Dan kebanyakan yang melihat & membaca itu adalah mereka yang hampir. Mereka ialah kawan-kawan, saudara mara, teman sepejabat..dan kadang-kadang sesuatu yang 'dipublish' itu boleh  pula mengundang fitnah. Maka banyak pula komen-komen yang menyusul, sehingga orang luar yang tidak menahu apa-apa boleh menjadi tahu. Bukankah ini suatu fonemena negatif?

Sebenarnya isu ini pada saya bukanlah sesuatu yang serius jika kita berniat menjadikan Facebook sebagai medium menjalin ukhuwah. Namun, apa yang saya perhatikan ada di antara kita gemar  menulis status bernada riak. Saya tiba-tiba menjadi sedih kerana bukankah sifat riak itu sebahagian dari sifat Mazmumah?

Jika riak itu kita boleh rasakan melalui tulisan, apatah lagi jika yang diucap. Mudah untuk orang lain mengesan keriakan kita. Nadanya tidak ganjil tapi menjengkelkan. Tidak perlu saya huraikan contoh-contohnya. Kini saya berhadapan pula dengan 'wallpost' yang riak. Kata-kata yang berniat menunjukkan kehebatan diri kepada orang lain. Sama ada orang percaya atau tidak, memuji atau tidak, memberi komen atau tidak, ia adalah suatu gambaran negatif.

Apapun, saya juga ingin menilai diri sendiri. Tentang betapa bahaya sifat riak ini walau dari sudut apapun dipancarkan, melalui kata-kata, perbuatan atau tulisan, kerana ia sebenarnya boleh meruntuhkan peibadi kita secara halus pada pandangan kasar orang lain.  Dan mungkin setelah banyak kali saya juga pernah melakukannya secara sedar atau tidak sedar, saya ingin menadah tangan memohon keampunan dari Allah S.W.T. Sesungguhnya saya pernah terbaca rencana sikap riak itu hanya milik Allah S.W.T. Kerana Dia adalah pencipta alam ini, Dia yang mempunyai kekuasaan, Dia yang mempunyai sifat-sifat ketuhanan. Tetapi Dia memilih Asmaul-Husna nama-nama yang indah untuk kita  memujaNya dan semua nama itulah sifat Allah dan kita hamba-hambaNya tidak layak sekelumitpun untuk bersifat riak.

Dan sesungguhnya perkataan riak itu sendiri beerti ingin menunjukkan kehebatan diri sendiri, sedangkan bukankah semua keistimewaan itu Allah jua yang mengurniakan kepada kita? Oleh sebab itu jangan pula kita lalai dan alpa. Wajib bagi kita berfikir tentang rahmat kehebatan itu sebenarnya adalah ujian dariNya sama ada kita bersyukur atau menjadi riak terhadap hamba-hambaNya yang lain.

Ya Alah, Ya Allah, kasihi kami ini dalam meniti perjalan panjang menyeru namaMu. Jika kami ini lalai, ampuni kami tunjukkanlah kembali ke jalan yang benar.

Sekadar satu renungan untuk diri sendiri, mengingatkan diri ini agar menjauhkan sifat mazmumah dari bertapak dalam sanubari kelak boleh mencacatkan iman.

Thursday, July 22, 2010

Mensyukuri rezeki keringat penat lelah.

Salam..

Hari yang ditunggu-tunggu muncual jua. Hari ini semua kakitangan kerajaan boleh menarik nafas lega kerana gaji telah dikreditkan ke akaun masing-masing. Saya turut tersenyum sama kerana hanya gaji inilah punca pendapatan, untuk meneruskan kehidupan. Saya tidak pasti kalau orang lain gembira atau tidak, kerana setiap orang sudah pasti mempunyai kehidupan masing-masing yang perlu dibiayai.

Hmm..seperti biasa sebelum dapat gaji, saya sudah menyenaraikan beberapa benda yang penting untuk diselesaikan. Senarai itu seperti berikut:

--> Ansuran kereta
--> Sewa rumah
--> Elaun untuk mama
--> Bil broadband
--> Bil kad kredit
--> Bil api + air
--> Ansuran kutu

Senarai di atas ini telah menyebabkan akaun saya hanya tinggal suku. Memang pening kepala memikirkan banyak lagi benda lain yang hendak dibereskan, tapi saya berserah kepadaNya. Dia telah menentukan rezeki kita sebanyak mana, dan Dia sahajalah tempat kita meminta untuk mencukupkan keperluan di dunia ini.

Dulu saya pernah mengeluh kerana berasakan gaji yang diterima tidak memadai untuk hidup, apatah lagi di kota besar seperti Kuala Lumpur ini. Namun bila melihat orang lain, yang bergaji jauh lebih kecil boleh hidup aman bahagia tanpa keluh kesah, lantas perasaan menyesal mengetuk dinding hati. Kenapa orang lain yang diuji lebih hebat boleh bersabar? dan saya yang bertuah ini boleh pula memandai-mandai tidak mahu mensyukuri nikmatNya.

Sebenarnya, banyak perkara boleh diambil iktibar. Allah S.W.T hendak menguji kita, Dia hendak mengetahui sejauh mana kita hamba-hambaNya mempergunakan minda yang telah dianugerahkan untuk mengurus kehidupan masing-masing. Saya tidak menafikan bahawa diri ini juga tergolong dalam golongan orang yang suka membeli-belah dan kadang-kala ada barang yang dibeli tidak bermanfaat, membazir pula. Baru-baru ini saya telah menyemak perbelanjaan, dan saya ini memang tidak seberapa layak untuk berbelanja sesuka hati.

Tapi, sebagai manusia biasa kita tidak lari dari membuat beberapa keputusan yang salah, termasuk dalam soal berbelanja. Oleh sebab itu, disyorkan kita menilik kemampuan, dahulukan keperluan, kebelakangkan kehendak. InsyaAllah saya mampu untuk hidup tenang. Alhamdulillah.

Tuesday, July 20, 2010

Anugerah sabar dalam kerjaya.

Salam..

Pada 8hb September ini genaplah 2 tahun saya bertugas di Pusat Kesihatan Universiti, UPM. Dengan posisi sebagai anggota paramedik (Juruteknologi Makmal Perubatan), tentulah kesibukan sentiasa menghambat bermula dari masuk kerja sampailah ke masa untuk balik.

Bergraduasi dalam Diploma Makmal Sains Perubatan, Pusat Teknologi & Pengurusan Lanjutan pada tahun 2007 (dengan meraih kepujian kelas pertama) bukanlah satu lesen untuk terus mendapat tawaran kerja. Rasa-rasanya ada lebih kurang 10 resume telah saya layangkan demi mendapatkan kerja yang sesuai, malangnya hanya ada 2 company yang memanggil interview. Sayang sekali, walaupun telah berjaya menghadiri interview, saya telah gagal mendapat kerja tersebut.

Kemudia saya berhijrah ke Penang (tinggal dengan kakak) pada 2007, dengan memulakan alam pekerjaan di 7E Batu Maung sebagai Store Associate. Ketika itu saya cuba memujuk diri bahawa keputusan menyambung study dlm medical lab bukanlah satu kesilapan. Almaklum ketika itu ramai yang kesian tengok saya, ada diploma tapi kerja tak sesuai. Masa kerja di 7E inilah saya mula merasai pahit getir, masam manis dunia pekerjaan. Ya la, kerja sebagai orang bawahan konsepnya hanya 'saya yang mengikut arahan'.

Nasib baik mula menyebelahi saya apabila pada awal 2008, Kolej PTPL Penang memanggil saya bekerja dengan mereka. Masa itu, hati menjadi riang kerana dapat kerja yang lebih elok. Tetapi sebaik sign up sebagai staff di sana, posisi saya 'Lab Technician' hanya nama semata-mata. Sebab ketika itu program DTMP belum dilaksanakan. Selama 6 bulan, saya di'pinjam'kan ke Exam Department. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana banyak menimba pengalaman bekerja di sini walaupun tidak lama.

Panggilan memulakan kerja di UPM pada Julai 2008 adalah saat-saat yang amat saya nantikan. Tidak terkira dipanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana doa saya selama ini dikabulkan olehNya. Akhirnya, dapat jua saya bertugas dalam bidang yang dipelajari. Semasa di sini, dalam tempoh hampir 2 tahun ini terlalu banyak kenangan pahit manis. Saya akur, kerana sebagai staff junior, masih banyak yang perlu dipelajari. Hingga saat ini, saya masih cuba memperbaiki mutu kerja agar semua tugas yang diamanahkan dapat dilakukan dengan terbaik. Prinsip 'practise makes perfect' cuba dipraktikkan sebaik mungkin. Alhamdulillah, Allah S.W.T telah mengurniakan kesabaran kepada saya untuk menempuh hari-hari sebagai kakitangan kerajaan. 'Saya yang mengikut arahan, Berilmu, Berbakti'.

Hati saya selalu berkata mengingatkan diri, bahawa nafkah dan rezeki jua pekerjaan saya pada hari ini sebenarnya adalah doa yang pernah dipanjatkan kepada Dia, lama dahulu. Dia tidak pernah lupa kepada hamba-hambaNya, yang memohon penuh harap, dan Dia mengabulkan hajat-hajat itu baik dengan kadar cepat atau lambat. Kesulitan dan kesusahan semasa bertugas tidak pernah saya keluh kesahkan kerana di luar sana, ramai orang yang bekerja tetapi tidak gembira. Hati saya gembira jika kerja-kerja yang dilakukan dapat disiapkan mengikut waktu, kemas, dan teliti. Kerana, setiap keringat yang dicurahkan itu akan bertukar menjadi nafkah yang digunakan untuk membiayai kehidupan di dunia fana ini.

Saya ingin memetik firman Allah S.W.T yang telah tercatat dalam Al-Quran yang bermaksud : “Malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (memberi hormat dengan berkata): ‘Selamat sejahteralah kamu, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (Surah Al-Ra’d, ayat 23-24). Setiap kesabaran menghadapi sesuatu pasti diganjariNya dengan kebaikan. InsyaAllah.

Monday, July 19, 2010

Puasa...ibadah kecil tapi banyak manfaatnya.

Salam..

Ketika menulis coretan ini, saya sedang menanti azan Maghrib berkumandang. Hari ini hari Isnin, dan telah 2 bulan saya cuba mempraktikkan berpuasa sunat pada Isnin dan Khamis.

Pada mulanya sangat payah, kerana diri ini sebenarnya hobinya makan..namun dikuatkan semangat agar dapat memulakannya kerana ibadah puasa ini manfaatnya banyak sekali.

Sebenarya, saya seorang yang sangat suka bercakap..talkative kata kawan-kawan. Kadang-kadang saya menyedari saya lebih banyak merepek dan mungkin boleh menyebabkan orang lain terasa hati. Alhamdulillah, setakat ini, terdapat sedikit perubahan setelah  mengamalkan puasa sunat. Saya lebih menjaga tutur kata dan hanya bercakap benda-benda yang penting.

Ibadah puasa juga adalah amalan kesihatan yang baik. Saya pernah terbaca bahawa berpuasa dapat membuang sisa toksik dalam badan. Jika saya terjumpa rencana itu, nanti saya akan post di sini.

Banyak lagi kelebihan berpuasa. Namun, bagi saya, ia adalah ibadah yang dapat menjaga perilaku kita dan pada masa yang sama mendekatkan kita kepada Yang Maha Pencipta.

Azan sudah berkumandang..dan pada saat ini saya ingin mengungkap hadis Nabi s.a.w iaitu, 'bagi hamba-hambaNya yang berpuasa, terdapat 2 kegembiraan iaitu ketika dia berbuka puasa dan ketika dia bertemu Tuhannya di akhirat kelak'.

Subhanallah Maha Suci Tuhanku yang telah mensyariatkan ibadah puasa kepada Umat Muhammad!

Sunday, July 18, 2010

Detik memulakan blog ...

Salam..

Buat pertama kalinya saya memulakan hari usia baru 26 tahun ini dengan membina blog sendiri. Nampak sangat usia baru ini benar-benar menuntut saya membuat sedikit perubahan, dari rutin biasa kepada rutin luar biasa pula!

Eh, bukan maksud saya orang lain yang tulis blog tu ada hobi luar biasa, tetapi sebenarnya mereka adalah sumber inspirasi diri ini untuk menekan keypad laptop meluahkan apa yang ada di minda dan di hati ini.

Hmm..dulu-dulu hobi saya menjenguk ke blog-blog orang lain, membaca lalu tersenyum. Setakat beberapa tahun ini sudah banyak blog yang sudah saya lawati. Ada yang aktif sangat lah aktif, ada yang update sekali sekala. Apa pun, sebagai blogger baru, saya berharap jari jemari saya tidak letih untuk terus menaip. Ya la kan, blog sendiri kena la taip sendiri, tak kan orang lain pula kan!